Salam alaik.

Sebenarnya dah lama nak menulis pasal buku atau novel yang mak dah beli untuk aku di Book Fair PWTC bulan lepas. Currently I am reading Seindah Dafodil tulisan Dr. Umi Kalthum Ngah. Sebelum tu aku baca Dari Kepala Batas ke New Haven. Entah kenapa novel Seindah Dafodil ini tak meruntun jiwa aku untuk membacanya sangat. Cuma, diawal ceritanya sungguh menarik mengenai halangan untuk mempersuamikan lelaki yang tidak berketurunan Syed di tolak oleh tok Insyirah. Seterusnya hanya perjalanan kisah hidupnya di Australia. Belum baca habis.

Dari Kepala Batas ke New Haven mempunyai gaya cerita yang tersendiri. Barangkali kisah hidup yang dilalui Khalili sukar sekali untuk ditemui dalam kehidupan kita bertemankan sahabat-sahabat yang hidup tidak sesusah mana. Kisahnya sangat menyentuh hati dan naluri seorang wanita bergelar ibu. Benar, jalan ceritanya sangat menarik. Namun begitu, aku kurang enak menghayati penghujung ceritanya. Mungkin aku faham apa yang cuba disampaikan, tetapi kurang menarik. Tidak menampakkan sesuatu yang indah dan memberi pulangan yang memuaskan.

Ceritanya bermula dengan kesakitan yang dialami oleh ayah Khalili. Tika itu umur Khalili masih kebudakan lagi. Punca sakit ayah Khalili tersebut konon-kononnya berpunca dari sikap suka menganggu perempuan lain. Ini merupakan tohmahan seorang dukun yang terkenal di kampung tersebut. Namun begitu, ayah Khalili tidak percaya kepada ubatan kampung lantaran mencipta kemarahan pada dukun tersebut. Ibu Khalili pula terpaksa menahan sakitnya diri menelan tohmahan yang tidak berasas tersebut. Ayah Khalili meyakinkan ibunya bahawa semua itu tidak benar dan dia hanya cintakan ibunya sahaja.

Kesakitan ayah Khalili akhirnya dijemput oleh Allah SWT. Selepas pemergian suami tercinta, ibu Khalili menerima banyak ujian dan dugaan. Hidup mereka bertambah susah dan miskin. Kematian ayah kepada ibu Khalili menduga iman seorang isteri dan Khalili sekeluarga dihalau dari rumah neneknya sendiri. Akhirnya mereka menempat dirumah jiran neneknya. Ibu Khalili berjanji akan pindah dari situ setelah rumahnya siap menggunakan duit pencen suaminya. Selepas pindah, mereka tidak lagi mengharapkan bantuan orang lain. Namun begitu, bermacam kata-kata belakang, kata nista dan fitnah-fitnah semakin menjalar di setiap mulut orang-orang kampung. Ada sahaja perbuatan mereka sekeluarga di pandang hina. Barangkali mereka penduduk kampung yang paling miskin di kampung tersebut.

Perubahan berlaku apabila seorang demi seorang adik-beradik Khalili berjaya ke menara gading. Keputusan peperiksaan masing-masing cukup membanggakan. Orang-orang kampung yang punya anak juga malu dengan mereka apatah lagi mereka hidup dalam kemiskinan sedangkan penduduk kampung lain punya wang cukup untuk biaya anak-anak mereka untuk berjaya. Ibu Khalili selalu memesan kepada anak-anaknya, belajarlah sehingga berjaya untuk ubah kehidupan mereka. Akhirnya, abang Khalili dan Khalili sendiri dapat belajar ke Oversea. Itulah berkat doa dan kesabaran seorang ibu buat anak-anaknya. Aku puji sikap Khalili didalam novel ni yang mempunyai sifat kepimpinan dan dipercayai oleh sahabat-sahabatnya di New Haven. Khalili juga seorang yang jujur dan amanah dan sentiasa bertanggunjawab ke atas apa sahaja yang berlaku. Dan dia seorang pakar motivasi yang mampu membangkitkan semangat mereka yang hilang keyakinan pada diri sendiri dan juga mereka yang dilanda masalah yang pelbagai. Seterusnya dia juga menjadi pekerja yang bagus dan menjadi kebanggaan syarikatnya. Akhirnya dia bercadang untuk membuka syarikat sendiri, syarikat motivasi.

Minta maaf, mungkin jalan cerita aku bertukar belit sebab dah lama baca. Takdalah lama sangat, tapi cukup untuk aku terlupa satu persatu perjalanan ceritanya.

Masalah lain adalah dari segi ayat, dan logik (ini dikesan oleh mak aku). Sesetengah ayatnya kurang kena dan pebualan yang kadang-kadang rasa tak sesuai dengan perkataan yang digunakan. Tetapi, itu semua tidak mencacatkan mana-mana jalan cerita di dalam novel tersebut. Ianya masih nampak sempurna dan mudah difahami. Segala cerita yang ada di dalam tu mudah dihadam dan di fahami dengan mata akal dan hati. Tahniah buat penulis kerana mampu menyentuh jiwa aku melalui cerita yang sedikit sebanyak menyakinkan aku bahawa setiap kejayaan bermula dengan cuba dan usaha.

Wallahualam.