SuperCamp I

Posted by KAY on Dec 1, 2009 in My Family, Perjalanan, Teman/Sahabat |

Salam.

Oh lupa.

Adik dapat 5A dalam UPSR dia. Alhamdulillah. Walaupun seorang budak yang malas dan kaki game, tetapi usahanya hari-hari membuat latihan (walaupun tak seberapa), akhirnya membuahkan hasil. Pada hari aku bergerak ke JB untuk program Supercamp minggu lepas, tidak putus-putus aku berdoa agar keputusannya memberangsangkan. Macam tak percaya bila keputusannya sangat cemerlang.

Tahniah buat adik. SMIH call tanya dia dapat berapa A. Bangga mak menjawab panggilan tersebut. Alhamdulillah semuanya atas keizinan dan kehendak Allah. Moga adik terus berusaha untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang akan datang.

Dua.

Masa pusing-pusing di Facebook tadi, beberapa orang sahabat-sahabat dari JB yang berkenalan melalui Supercamp tempoh hari mula add aku. Adalah beberapa orang. Biasalah, mereka bersekutu di kawasan JB tu. Ramai sangat.

Mata tertancap pada nama seorang ukhti. Hehe! Lantas teringat saat-saat genting ketika salah satu aktiviti di Kem Rebutia. Jumaat malam Sabtu, checkpoint yang terakhir. Kami dikehendaki mendapatkan 7 biji bola pingpong di dalam paip yang bocor. Paip tu ada lubang di atas sekali, dan ianya sangat tinggi. Di keliling paip tu ada lubang-lubang kecil. Tugasan kami adalah menutup lubang-lubang kecil itu menggunakan jari sehingga 7 biji bola ping pong itu berjaya di naikkan oleh air di dalam paip itu.

Masa diberi hanya 10 minit. Cubaan pertama kami gagal! Ya, kami gagal kerana ada banyak lagi lubang tidak tertutup. Cubaan kedua juga gagal. Air terpancut-pancut mengenai muka aku. Aduh, sejuk dan menyakitkan mata kerana air tu betul-betul memancur ke arah mata. Barangkali salah seorang dari kami terlepas jarinya dari lubang tersebut. Alhamdulillah, kali ketiga cubaan kami berjaya. Walaupun ada beberapa lubang lagi kami tidak berjaya tutup, namun bola ping pong itu berjaya timbul.

Saat-saat yang cukup genting apabila 2 orang sahabat perlu memanjat atau memijak badan sesiapa untuk mencapai lubang paip bocor tersebut di atas sekali. Badan aku menjadi mangsa. Ya! Sahabat tersebut seorang yang tinggi, walaupun beratnya lebih kurang berat aku, tetapi cukup untuk membuat belakang badan aku sakit menanggung beban beratnya untuk beberapa minit. Derita itu untuk seketika dan saat itu aku cuba mengingat Allah supaya beban yang berat itu terasa ringan. Pada saat-saat genting seperti itu, tidak ada apa yang terlintas diminda hanya Tuhan dan kemenangan sahaja. Bukan kemenangan berlumba antara kumpulan, tetapi kemenangan melalui mehnah yang pelbagai sepanjang malam itu.

Subhanallah, akhirnya kami tamatkan aktiviti malam tersebut pada jam berapa tidak pasti. Buat pengetahuan kamu, kami hidup tanpa masa sama ada melalui telefon bimbit atau jam telah diserahkan kepada pihak penganjur. Itu adalah peraturan program. Apa yang pasti, aku tidak dapat tidur malam itu kerana kesejukan.

Sesungguhnya ujian itu hanya dikit, banyak lagi ujian-ujian lain kami terpaksa tempoh sepanjang 3 malam 2 hari di Kem Rebutia aka Kem Guantanamo.

Wassalam.

Tags: , , , , ,

Reply

Copyright © 2010 |[ L i f e . 4 . A I M ]| All rights reserved. Theme by Laptop Geek.