First daY

10/29/2008

Salam.

Alhamdulillah. Tadi Finance macam tak percaya aku boleh buat. Insyaallah, harapnya kefahaman aku berketepatan dengan kehendak jawapan. Hehe. Kejap lagi, faham lain, jawabnya lain.

Sebenarnya, hari ni tak berapa belajarpun. Sebab dah penat asyik menghadap soalan-soalan Finance. Memang boleh buat orang termuntah hari-hari belajar benda ni. Yelah, subjek ni kena banyak buat latihan. Kalau sekali dua kali je buat latihan, susahlah. Nanti susah nak tajamkan skill tu.

3 jam sebelum paper, aku sakit perut. Angin kot. Memang sakitlah. Lepas sapu minyak panas, tertidur. Seronoknya. Rasa macam malas nak pergi exam. Hehe! Tapi, nak buat macamana. Bangun tidur, kepala pusing. Wah, memang pusing habislah. Bangun-bangun tak boleh terus berdiri, kena baring sekejap. Ambil air sembahyang, solat. Badan dah rasa tak sedap. Entah kenapa, macam tak best pula nak jawab periksa dalam keadaan macamni.

Aku dah menjaga permakanan aku. Tak minum nescafe sehari sebelum exam. Nanti terkesan dekat kepala aku. Jadi, malam tadi aku minum air teh panas je.

Oh ya, hari Isnin hari tu pergi rumah Kak Saudah. Bincang pasal usrah dengan Mak Long dan Ustaz Suhaimi. Haish, aku naik segan sebenarnya. Masa perkenalkan diri, mereka boleh pula cakap macamni ‘La ini ke Kausar?’ Aku pun sengihlah. Iya, sayalah Kausar. Rupanya abah ni suka sangat mencanang nama aku merata. Aduh. Segan pula. Diorang kata, abah kalau borak sekejap-sekejap cakap nama aku. Ada je nama aku dia sebut. Aku pun tak faham. Apa bendalah yang dia bebelkan pasal aku dekat diorang ek? Moga semuanya baik-baik belaka insyaallah.

Pada hari yang sama, budak kecil nama Ida jatuh tangga. Lengan tak boleh nak gerak. Mak Long bawa pergi urut dengan saudara dia. Mak cik tu kata, tulang mungkin retak. Jadi, ustaz pun suruh hantar dekat penawar, klinik dalam. Rupanya penawar tutup. Sedihnya. Kami pun keluar, ustaz bawa pergi hospital. Dekat hospital, tunggu giliran. Lama jugalah. Di hospital, pergi x-ray. Doktor kata tak apa-apa. Mungkin otot dia bermasalah. Hehe. Kelakar pula rasa.

Masa balik, cikgu Arif datang ambil. Kenal tak kenal, kitorang bedal jelah. Minta cikgu tolong berhenti dekat kedai makan. Lapar sangat. Dari siang berjalan, tak makan. Mestilah lapar. Kitorang bungkus je. Dalam kereta cikgu kata, baik makan je kat kedai tadi. Takdalah awak menahan lapar. Hehe. Budak kecil bernama Ida yang banyak cekadak ni pun cakaplah, kalau makan nanti cikgu kena tunggu sampai esok. Takut tak sanggup pula nanti. Haha! Aku dah tergelak-gelak dah. Pandailah kau buat cerita. Tapi cikgu tu memang bestlah. Untung ikhwah dapat usrah dengan dia.

Sampai kolej, Ida tidur bilik aku. Rumet tak ada, balik. Aku cakap dekat Ida, nanti aku panggilkan kak Sha untuk urutkan. Dia kata ok. Alhamdulillah, mujur Sha tak menolak. Bukan apa, paper lagi 2 hari. Risau mengganggu dia. Lama jugalah proses mengurut lengan si Ida ni berlaku. Aku pun berboraklah dengan Sha sambil-sambil dia mengurut. Si Ida menahan sakitnya. Kesian.

Malam tu, ingat nak belajar. Tapi sebab penat punya pasal, memang tak larat. Ingat nak jaga Ida pun tak larat. Memang tak boleh nak buat apa-apa pun. Alhamdulillah, esok tu tangan Ida dah ok sikit. Risau je dia tak dapat nak ambil paper hari ni sebab tangan tak boleh gerak. Moga Tuhan memberkati dan merahmati usaha Sha bantu Ida. Ida, jangan nakal-nakal. Itulah, aktif sangat macamanalah badan yang lemah tu nak handle.

Oklah. Aku tak boleh bebel banyak. Sebenarnya masih sakit kepala. Saja nak datang sini. Nak ambil baju batik dekat Intan sebenarnya. Jadi, singgah sini kejap. Rasanya CC pun nak tutup dah. Tu je dari aku.

Next paper, Arab.

Wassalam.

Ukhuwah Fillah

10/27/2008

Salam.

Final just round the corner. Tapi sempat pergi cc melangsaikan hutang. Hehe! Hutang apa? Takda apa. Bosanlah, asyik belajar je kan? Sekali-sekala nak juga merehatkan otak dan minda (macamlah belajar tak henti).

Paper first, Rabu ni. Finance. Lepastu Arab, 4 haribulan. Then, 7 haribulan kot Business Communication. 14 haribulan Economy Malaysia dan 17 Law. Agak-agaklah kan. Aku pun tak berapa nak ingat sangat tarikh-tarikhnya.

Petang ni nak keluar. Bincang pasal usrah. Aku ikut je. Yelah, fikir-fikir balik sampai bila aku nak menyepi, betul tak? Rindu juga nak usrah. Entahlah, tak tahu macam mana nak luahkan apa yang aku rasa. Bukannya semua orang boleh faham, bukannya semua orang tahu.

Kadang-kadang, aku macam dah tak faham apa maksud ukhuwah fillah. Semua orang cakap, laung-laungkan, tulis dan taip sana sini. Tapi, aplikasikan tu ada ke? Entahlah ek? (Aku ni banyak sangat entahnya.) Yelah, kita manusia ni cakap je lebih, buatnya sebesar zarah pun belum tentu mampu. Dulu aku selalulah juga rajin pergi masjid. Tapi, aku tak rasa ada ukhuwah tu. Yelah, orang masjid dengan orang masjid je. Kadang-kadang aku sendiri segan pergi masjid. Orang kata, orang masjid itu ini itu ini. Maksudnya, sekali diorang jejak masjid dapat layanan entah apa-apa, tak ke aib namanya? Aku tak adalah terasa sangat, tapi macam perasaan tak seronok tetap ada. Orang kata, kita pergi masjid nak beribadahkan? Tapi emosi kita terganggu bukan sebab masjid tu sendiri, tetapi sebab orang-orang yang berada di masjid. Maaflah bagi pihak yang terasa.

Susah nak definisikan maksud ukhuwah fillah. Kita doa dan berharap pada sebuah ukhuwah fillah dengan sahabat-sahabat, tapi adakah doa itu berterusan atau hanya pada hari kita bertemu sahaja? Susahlahkan, susah. Kadang-kadang benda ni jadi susah sebab kita terlalu banyak berfikir, terlalu banyak mempertikaikan, terlalu banyak berburuk sangka (astaghfirullah), tak ada niat begitu. Cuma manusia tak akan sedar bila tak diingatkan. Tak seronok sebenarnya, tak seronok nak cakap benda-benda ni semua. Tapi sebab sedih, sedih punya pasal.

Ada juga, sesetengah ukhuwah fillah di cacati dengan berahsia di depan orang lain. Tak adalah, kalau agak-agak ada rahsia yang taknak di kongsi, tak payahlah diskas denpan sahabat yang tak tahu apa-apa. Tak ke kecil hati sahabat tu? Macam akulah contoh paling senang. Kadang-kadang, memanglah terasa hati. Yelah, aku dahlah tak tahu apa-apa. Tiba-tiba bincang ‘yang haritu tu kita bincang..’ Sorang lagi pun jawab ‘oh.. haha. Aahkan.’ Pastu akupun cam orang bodoh, sengih je. Padahal tak tahu apa-apapun. Sedihkan. Cuba bayangkan kita dalam keadaan tak tahu apa-apa tiba-tiba diorang cakap-cakap berselindung tapi di depan kita? Argh.. perangai siapakah ini?

Akhirnya, aku bawa diri. Macamtulah ceritanya. Bukan nak merajukpun, cuma bila fikir balik. Lebih baik korang dengan korang je. Aku dengan hidup aku. Macamtu kan lebih nampak ukhuwah fillahnya.

Em, oklah. Setakat ni dululah. Banyak lagi nak study ni. Bagi mana-mana pihak terasa, hamba hulurkan kemaafan. Setiap teguran tersebut sebenarnya, terkena batang hidung sendiri juga. Cuma, kita sama-sama muhasabah dan perbaiki diri semula. Manusiakan penuh dengan cacat celanya. Kita adalah insan yang sering lakukan kesilapan. Ok?

Dua.

Sebelum aku berundur diri, aku nak kongsi sebuah nasyid yang agak seronoklah melayan sambil belajar ni.

Kesekian Kali - Suhaimi

Kesekian kali kini ku berdiri
Tulus hati dihadapanmu
Masih terus merayu dengarkan aku

Jalan yang berliku
Sepanjang hayatmu
Aku juga merasainya
Lantas aku mengerti dan memahami

Lihatlah ke dalam hatimu
Percikan cahaya
Yang akan membara
Mmenjadi penerang segala yang didepanmu

Lihatlah jua ke hatiku
Aku lah temanmu
Terimalah aku
Kita kan bersama mengharung dunia fana ini

Kesekian kali ku ulangi lagi
Tidak kan pudar keyakinanku
Yang kau akan berdiri atas kemuncak tinggi

Di dalam susah dan senang, moga kita sentiasa saling ingat-mengingati. Bukan selalu kita bersama, bukan kerap kita berjumpa. Hanya sesekali, bila kita dapat berluah rasa kasih dan sayang, sama-sama yakinkan dan bantu sesama kita. Sahabat yang kita kasihi, yang kita sayangi, adalah mereka yang sentiasa mengajak kepada kebenaran, berpesan kepada kesabaran, dan tatkala kita terlihat dan teringat dia, lantas mengingatkan diri kita untuk melakukan lebih banyak kebaikan.

Akhir kalam, bagi pelajar-pelajar yang sedang menuntut di universiti, jangan tidur je. Rajin-rajinkanlah belajar. Janganlah main game je, kesian mak ayah kita, hantar suruh belajar, dia pergi kacau orang belajarlah, melepaklah, beli barang tak faedahlah. Rajin buat solat malam, solat hajat, solat istikharah, solat tahajud dan bermacam solat lagi dengan niat untuk mendapat ketenangan dunia dan akhirat.

Semoga berjaya! Chaiyok! Chaiyok!

Adil ke ek?

10/24/2008

Salam.

Tak ada banyak benda nak cakapkan sangatpun. Minggu ni, setiap malam ada diskusi untuk siapkan assignment. Mujur malam tadi tak terlewat sangatpun.

Petang ni kena pergi PGN (Pra-Graduan Night), bukan sebagai VIP atau jemputan tetapi sebagai penganjur. Maknanya, aku di tugaskan jaga bas. Aduhai, susah betul nak handle pelajar-pelajar lagi dewasa daripada kita. Risau pun ada. Moi kata, diorang semua dah besar. Kalau ada masalah disiplin, itu masalah mereka. Kita jangan berkasar, sebab mereka dah TUA dan sepatutnya lebih memahami prosedurnya. Baiklah, aku senyum dan faham.

Ada beberapa seketariat dan JPK tidak dapat hadir. Jadi, aku ajaklah beberapa sahabat yang lain bersama. Kira mereka pengganti seketariat jugalah. Bagus-bagus. Aku ada kawan. Kalau tidak, aku seorang diri je. Yang lain semua part 3 dan part 5. Aku seorang je part 4 masalahnya. Tapikan, walaupun lain part, JPK sektor B memang kamcing dan rapat. Tak ada masalah dalam komunikasi dan perhubungan. Alhamdulillah. Mungkin berkat ketua PPP kami yang sporting dan kelakar.

Cakap pasal PGN, aku dengar semester ini adalah yang terakhir. Semester depan sudah tidak ada PGN dan juga Modul YES. Aku macam tak puas hati pula dapat maklumat begini. Bukanlah nak kata aku memang nak sangat pergi, rasanya tidak adil jika semester-semester sebelum ni ada tetapi semester aku yang akan tamat dalam 2 semester lagi sudah di hapuskan. Sekurang-kurangnya salah satu mesti ada. Kalau PGN tak ada, tak akanlah Modul YES pun nak di hapuskan?

Nak cakap pasal bajet, bukannya tak boleh kurangkan kos. Kalau tak mahu buat tempat mahal-mahal, buat biasa-biasa pun tak apa. Ini pendapat aku. Itu lebih baik daripada tak ada langsung.

Sebenarnya, ini bukan fokus utama dalam kampus kita, tetapi lebih kepada meraikan yang akan berpisah dan tamat belajar. Tak salah rasanyakan?

Dua.

Orang kata, rajuk hati janganlah berlama sangat. Nanti hati susah nak di ubat semula. Biar luka diletakkan ubat sedikit-sedikit. Lama-lama keringlah. Jangan abaikan terus, kalau tidak luka yang kering akan luka semula.

Mungkin kita perlukan masa. Mungkin kita harapkan sesuatu yang tak berapa nak pasti. Mungkin kita takut. Mungkin kita belum mampu menerima hakikat. Mungkin mungkin dan mungkin. Entahlah. Yang pasti, aku akan cuba pulihkan. Cuma, bila itu aku tak pasti.

Akhir kata, moga pencarian aku pada kemanisan iman itu berterusan dan tetap pada jalan-Nya. Takut kalau-kalau, rumah di tepi laut di lambung ombak habis musnah di telan arus. Istiqamah Kausar. Hidup bukannya lama, jadi tidak boleh ambil masa yang lama.

Ni baru betul-betul akhir. Doakan kesihatan aku baik-baik sahaja. Hari ni aku rasa badan aku panas dan lemah. Sejak semalam sebenarnya. Rasanya hari tu kena hujan, tu yang jadi macamni. Sakit kepala, berdenyut, badan lemah dan panas. Kawan-kawan, doakan aku ya. Terima kasih.

Wassalam.

Aduhai

10/20/2008

Salam.

Sebenarnya, hidup ini unik - kata seorang teman. Bila kita di uji pelbagai, kita akan di anugerahi lebih banyak BAGAI lagi yang tak di duga. Kenapa aku terpaksa menulis semula? (Sedikit segan dan menunduk.)

Pagi tadi habis kelas LAW aku jumpa Cik Alizah, saya nak pinjam nota miss, nak photocopy. Dia tanya bila nak ambil, aku jawab pukul 12.

Pukul 11 kelas FIN tamat sebab ada kuiz sahaja (alhamdulillah, boleh di jawab dengan tenang). Aku minta Zira tolong tanyakan miss, dia ada di bilik tak sekarang. Miss kata ada, boleh datang.

Aku dan Sha, bergegas ke bilik Cik Alizah. Dia kata, bilik dia sedang ada pembaikan komputer. Jadi, bincang di luar sahaja. Eh, dia cakap ’saya ada benda nak cakap dengan awak kejap Kausar.’

Dalam hati aku - sudah, ni apehal pula nak jumpa aku ni. Carry mark rendah ke?

Lepas mendapatkan nota, kami duduk di kerusi sofa dekat-dekat situlah.

Cik Alizah memulakan bicara, Kausar awak ada masalah ke?

Sudah. Masalah apa pula ni? Bila pula aku ada masalah? Kalau aku ada masalahpun macamana dia boleh tahu?

Akupun nak cover line punya pasal entah masalah mana dia maksudkan aku tak tahu, terus aku cakap. Alah Cik Alizah, takde pun. Masa tu saya tengah bosan-bosan sajalah mesej Cik Alizah. Takda masalah apa-apapun.

Sha dah tergelak dah. Masa ni, berpeluh juga aku. Yelah, takut dia tak senang dengan mesej kerapuan aku tu.

Cik Alizah cakap, bukan pasal mesej tu.

Wah, masalah mana pula?

Haritu ada seorang pensyarah datang jumpa saya. Dia tanya kenal Kausar ke tak? Saya cakaplah, awak assistant class rap saya. Dia beritahu saya cuba tanya Kausar kalau-kalau dia ada masalah. (Macamtulah lebih kurang. Macam cara nak beritahu bahawa aku ni sedang bermasalah.)

Aku rasa macam kena panggang. Dalam kepala otak aku ni ligat berpusing. Puan Yus ke? Sebab test FIN aku teruk? Ustaz ke? Sebab selalu ponteng kelas Arab? Puan Noreen ke? Sebab presentation teruk? Agak tak keruan jugalah aku masa tu. Rasa macam nak berair mata aku. Adakah begitu sekali nasib aku? Yang aku tak paham, kenapa diorang beritahu Cik Alizah?

Hehe. Cuak tahap gaban.

Rupanya ceritanya begini.

Blog awak ni ada dekat link prof Kamil. (Mati kutu aku. Biar betik? Iya, dah lama tak masuk blog prof, manalah nak tahu). Link awak tu adalah pensyarah masuk. Dia kata dalam blog awak tu, awak tulis yang awak ada masalah. Lepastu, awak mengumpat apa pasal saya kat dalam blog awak tu? Bagi saya blog awak.

Haha! Aku control gelak ar dalam gelabah. Aku ni tak pandai berterus-terang. Jadi, aku cakap jelah. Tak ada apalah miss. Tu masalah dengan kawan-kawan je. Masa tu tengah problem dengan member saya. Tak ada apalah. Sekejap je tu. (Kawal-kawal, tengah cuak lagi ni. Sha boleh gelakkan). Saya ada tulis dalam tu, taknak tulis blog dah.

Miss pandang aku semacam je. Tak percaya dengan penjelasan aku. Lagilah aku gelabah. Aih, macamana aku nak buat dia percaya. Kalau aku dengan dia berdua je boleh mengalir air mata aku. Sebenarnya, tak nak di kenang. Dia pesan, kalau ada apa-apa jangan takut-takut nak kongsi. Saya tak kisah (macamtulah lebih kurang walaupun ayat dia tak berapa nak sama).

Habis je, Sha bising.

Weih, famous gila blog kau? Pensyarah pun boleh masuk? Siap ada link dekat blog prof Kamil.

Adeh, aku pun tak tahu Sha. Aku sendiri tak tahu macamana boleh jadi macamni. Rasa macam berada di alam mimpi je. Ngeri betul. Kau tahukan aku sedih pasal apa?

Dia gelak sambil jawab TAHU, TAHU. Huhu.

Jadi, mungkin sedikit rasa tanggungjawab untuk menjelaskan disini.

Peratama sekali, aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana ada seorang pensyarah di UiTM Johor ini perihatin terhadap seorang pelajar yang bermasalah seperti aku. Mungkin untuk jumpa pelajar bermasalah dalam jumlah yang banyak ni sangat sukar. Jadi, bila TERjumpa di blog, mestilah satu peluang untuk membantu sekurang-kurangnya seorang daripada kami. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya aku tahu pensyarah di kampus UiTM Johor ni sebenarnya penyayang, cuma pelajar-pelajar kita sahaja yang tidak pandai menilai.

Sebenarnya, aku cukup terharu. Itu saja yang mampu aku ucapkan.

Aku bukanlah seorang artis, atau penulis blogger yang dikenali ramai. Aku hanyalah seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu. Kehidupan aku biasa-biasa, norma seperti orang lain. Ada masa, kita sedih. Ada masa, kita gembira. Semua itu adalah ranjau dan duri. Kita bukanlah maksum, tidak lari dari sebarang kesilapan. Kita bukanlah malaikat, tidak pernah merasa kesedihan. Bahkan air mata kita dicipta, bukan hanya untuk kegembiraan. Tidak ada gembira tanpa kesedihan.

Jika kita berniaga, mampukah kita belajar dari kesilapan jika tiadanya kegagalan? Mampukah kita kecap kejayaan jika takut pada kegagalan? Begitulah hidup kita. Sedih hari ini, tidak bermakna kesedihan itu untuk selamanya.

Seorang teman pernah berkata, aku adalah pelakon terbaik didunia. Tetapi, aku bukan lagi pelakon terbaik di maya. Semuanya terlalu lurus dan jujur jika aksara yang berkata. Lidah kelu, itu biasa. Siapa berani menentang mata sambil memberi seluruh rahsia hati kepada seseorang? Malukan? Dari hati, turun ke jari, dari jari, turun ke aksara, dari aksara, turun ke maya. Akhirnya, berharap kepada kepuasan melepaskan apa yang terbuku. Tidak lebih dari itu. Dan berharap agar ianya padam tanpa di hitung lagi.

Aku percaya, rahsia peribadi adalah tetap rahsia peribadi. Masalah aku, mungkin sukar untuk dikongsi. Sejak kecil, aku tidak ada teman yang boleh dipercayai untuk berkongsi masalah. Jadi, ianya terbawa sehingga ke besar. Mungkin kepercayaan aku terhadap seseorang untuk menyimpan rahsia aku terlalu tinggi, jadi tidak semua orang LAYAK untuk membebani masalah aku. Aku bukan sombong, minta maaf. Aku boleh bercerita jika ada jalan, tetapi bukan di tempat terbuka begini. Ramai dah tahu blog ni, mak, abah, adik, abang, kawan, pensyarah, JPK dan sebagainya.

Aku bukan seorang yang suka memperbesarkan cerita. Jika aku menulis, aku suka habiskannya disitu. Noktah. Tetapi tidak semua orang berfikir macam aku. Pasti akan ada yang bawa penulisan ini diluar suatu hari nanti. Aku tidak kisah, asalkan ianya tidak terlalu peribadi. Tetapi, mampukah kita kawal mulut manusia? Cara terbaik adalah, kita sendiri mengawal diri kita dari berterus terang.

Jujurnya aku kata, ramai pelajar UiTM sudah singgah disini. Kadang-kadang teman yang tidak berapa rapat juga pernah menegur, Kausar hari tu aku masuk blog kau. Kausar, aku jumpa blog kau. Kausar, kita baca blog awak haritu. Aku senyum je. Bacalah jika ianya bermanfaat. Jika tidak, tak perlu bazirkan masa.

Memang, kadang-kadang kisah dalam ni semua berkenaan aku. Peribadi juga tu kan? Tetapi, tak adalah terlalu peribadi (kot).

Tadi tu, mukaddimah je. Hehe!

Kesedihan tu, tak ada apa-apalah. Aku pun dah tak nak baca dah. Padam jelah. Kadang-kadang kita terlalu mengikut perasaan. Betul tak? Aku bukan seorang yang suka memanjangkan cerita. Aku sedih disini, diluar aku nampak girang sahaja.

Jangan risau, masalah peribadi tak mungkin bercampur-aduk dengan akademik. Aktiviti kolej juga tidak bersangkut paut dengan masalah-masalah lain. Bagi aku, semua itu tidak bersangkut-paut. Dalam kehidupan, kita ada cabang. Dalam setiap cabang, kita ada suka dan duka. Setiap suka dan duka itu, adalah tarbiyah buat diri kita. Mungkin kadang-kadang, ianya menguji mud kita. Bila kita ada masalah, nak buat apa pun tak senang. Give some time to yourself. Aku selalu begitu. Bila aku tengah bosan tahap cipan, itu maknanya aku tengah take my own time. Aku ada masalah, aku ada kerja, tapi aku perlukan masa untuk perbaiki mud. Jadi, aku tak akan sesekali paksa diri aku untuk bekerja dalam keadaan aku sendiri tak mampu kawal keadaan.

Tetapi, kenapa sampai taknak tulis blog semula? Itu yang aku rasa kemusykilah bersarang di hati pembaca, bukan? (Macamlah ramai sangat pembaca).

Entahlah. Aku sudah menulis blog hampir 6 tahun. Setiap kali aku kata nak berhenti, pernah ke aku berjaya? Sebenarnya, aku cuma ingin berehat. Aku sedang bersedih, dan bermasalah dengan seorang sahabat. Sahabat itu juga rajin online. Seorang blogger. Jadi, supaya aku sendiri tidak menaikkan tahap kemarahan dan kebencian terhadap diri beliau, lebih baik aku membawa diri sekejap. Rancangnya, aku nak tukar blog. Itu je. (Kausar selalu macamni, bila nak tukar blog je tak beritahu siapa-siapa. Lepastu lost contact dengan semua blogger macam dulu! Jahat tau!). Hehe! Tak apalah, hidup kena low-profile. Kita hanya perlu tonjolkan diri bila perlu sahaja.

Terima kasih kerana mengingatkan, LA TAHZAN - Jangan Bersedih. Sesungguhnya, pasti ada kemudahan selepas kesusahan. Di saat aku sedih kerana seorang teman, sesungguhnya di luar sana ada lagi manusia yang tidak punya teman langsung. Jadi, bersyukurlah dengan teman-teman yang masih ada di sisi.

Aku bersyukur kerana semua ini. Ya, hati aku masih sakit. Tetapi, usah risau. Semua itu boleh di ubat sedikit demi sedikit.

Jadi, selamat datang kepada Kausar semula. Hehe!

Minggu ni, adalah minggu belajar untuk final, dan minggu menyiapkan assignment. Sekian dahulu.

Nota: Kepada pensyarah yang terlibat (saya tak pasti siapa), terima kasih kerana ambil berat. Saya sendiri tidak menyangka semua ini boleh berlaku. Mungkin Allah ingin saya mensyukuri apa yang saya ada sekarang ni dan jangan bersedih atas kehilangan nikmat yang sedikit itu. Ada banyak lagi nikmat di luar sana yang belum saya sentuh. Terlalu banyak. Terima kasih sekali lagi. Moga puan (kalau belum kahwin minta maaf), sentiasa mendapat kerberkatan dan keredhaan Allah atas sikap yang sungguh perihatin.

Wassalam.

Enc.

10/14/2008

Salam.

Hari ni, hati aku terluka. Sangat luka. Entah bila baru boleh baik. Ibaratkan di tepi pantai, kita dah bina sebuah istana pasir yang indah, tiba-tiba datang seseorang dan langgar istana pasir tersebut. Selamba je. Wah, mesti panas hati ni kan?

Hari ni je mud aku hilang sepenuhnya. Memang aku ada expect kelukaan ini bakal terjadi, tetapi aku tidak expect secepat ini. Apatah lagi dengan tekanan assignment yang berlambak, test yang bakal tiba, presentation yang macam-macam, dan aku sendiri terasa berat sangat. Dah seminggu tidur lewat. Malam tadi sepatutnya aku tidur awal, tapi sebab teramat sedih aku tak dapat tidur. Aku tengok je video sampailah aku rasa betul-betul mengantuk tahap gaban baru aku tidur.

Sebab, aku taknak layankan perasaan sangat. Betul, aku mengaku sebelum terlelap akan tertitis juga air mata kesedihan. Nak buat macamana, bendung membendungpun takkan mampu di tahan lagi.

Pagi-pagi lagi, aku dah hilang mud, dah marah-marah. Sebenarnya aku dah lama marah benda yang aku marah tu. Tapi di sebabkan aku tengah tak ada mud, benda yang buat aku marah dah lama tu makin berapi. Kalau aku jumpa siapa yang buat macam tu lagi, memang ada nak kena bebel. Geram betul aku.

Sepatutnya lepas kelas tadi sepatutnya aku nak pergi outing. Tapi tak ada bas dan tak ada orang. Kalau ada bas pun memang bas tak akan jalan, sebab aku sorang. Ya, aku sorang-sorang. Aku nak lepaskan tekanan aku. Nak jalan-jalan dekat bandar sorang-sorang. Aku tengah sedih. Tak ada siapa yang boleh buat aku gembira semula, jadi aku gembirakan sorang-sorang. Aku dah beritahu semua kawan-kawan aku yang aku sedang bersedih, biar diorang takkan tambahkan sedih aku lagi lepasni. Kalau tak, hati aku sebak. Hati akukan sensitif.

Aku rasa tekanan aku macam melampau-lampau dah. Sampai ke tahap tak boleh nak senyum. Sengih je boleh. Tu pun sengih paksa kot. Warghhhh!! Tension!!

Mud aku yang tak betul ni, buat aku tak ada selera untuk makan. Rasa macam nak demam balik. Huhu.. dan kebelakangan ni dah ada orang menegur, kau tak sihat ke Kay? Nak demam eh?

Anti-body makin lama makin lemah! Argh, lemas. Astaghfirullah. Malam tadi kurang beristighfar kot.

Sakit kepala aku macamni. Sakit yang amat. Akhir-akhir ni pun tidur lambat menjadi punca kepada kesakitan kepala ini. Malam tadi pukul 2 pagi. Sebelum tu 4 pagi. Sebelum tu lagi 3.30 pagi. Manalah tak penat otak ni. Petang-petang tak tidur. Itu lagi bermasalah. Tak dapat nak cover semula penat bersengkang mata.

Dan..

Mungkin ini entri aku terakhir. Terakhir kerana kesedihan. Lepasni, mungkin aku tidak akan update lagi. Aku tak mahu pergi cc dan lab perpustakaan lagi. Aku tak mahu menghadap komputer lagi (sampai lepas final). Aku dah penat, penat yang amat. Kesedihan akan bertambah-tambah jika aku berada dalam dunia maya ini. Dunia maya menyakitkan, menyedihkan, melukakan. Jadi, aku nak lupakan semuanya. Aku nak hidup dalam dunia nyata. Dunia yang boleh mengajar aku, mendidik aku. Walaupun, aku tak tahu dimana.

Lepasni, korang tak payahlah masuk lagi blog ni. Mungkin akan di tutup terus. Aku dah penat. Selamat tinggal semuanya. Aku akan ‘hidup’ semula bila aku dah bersedia. OK?

Terima kasih atas sokongan yang tak seberapa. Maafkan aku andai ada salah dan silap yang tak disengajakan terbuku di dalam mana-mana entri yang mungkin mengguris perasaan pembaca. Terima kasih sekali lagi.

Wassalam.

« Previous entries