Gosip RomPakan

06/25/2008

Salam.

Perjalanan semalam memang menyeronokkan, kerana ia agak memenatkan. Di tambah pula dengan kesakitan perut yang tiba-tiba datang tak di undang. Balik-balik, terus mandi mengharapkan kesegaran. Oh ya, kami di tempatkan di Kolej Sektor A. Subhanallah, Maha Suci Allah kerana tidak menempatkan aku di Sektor A. Bukan apa, jauh sungguh perjalanan nak mengangkat beg dari pagar depan hingga ke kolej. Tetapi, nak buat macam mana? Itu saja penempatan yang dibenarkan untuk kami.

Walaubagaimanapun, keistimewaannya adalah berdekatan dengan masjid. Subuh senang untuk bangkit. Kedengaran azan Subuh benar-benar di sebelah telinga. Ya Allah, indahnya hidup di sini. Benar, mereka sepatutnya bersyukur kerana waktu solat mudah di dengari berbanding kami di sektor B, berapa kali merayu pihak atasan agar memasang speaker extra di sektor B ini agar kami tidak lalai dari kumandang Azan itu. Namun, sampai kini masih lagi tidak kedengaran. Jika ingin dengar, keluarlah dari bilik, perlahankan suara, dan pasang-pasangkanlah telinga anda.

Aku tidak tahu apakah hari-hari mendatang ini akan jadi lebih baik atau sebaliknya? Aku berharap agar baik-baik sahaja. Apatah lagi, sakit perut hari ini makin menjadi-jadi. Tak selesa! Rupanya kursus Pembantu Mahasiswa MMS (Minggu Mesra Siswa) itu berlangsung esok hari dan hari ini hanya pendaftaran dan taklimat. Oh ya, baru-baru ini terdapat cerita-cerita belakang mengenai rombakan bilik. Kami pada awalnya percayakan sahaja, apatah lagi ada pelajar-pelajar yang sememangnya tidak dapat bilik mereka sendiri. Tetapi, tadi usaha kami untuk bertanya memberikan jawapan yang sebaliknya. UPK (Unit Pengurusan Kolej) Sektor B memberitahu kami bahawa cerita itu tidak benar. Kami rasa gembira.

Asalnya, cerita tersebut memberitahu kononnya rombakan tersebut akan mengasingkan pelajar-pelajar Dekan, pelajar-pelajar JPK, pelajar-pelajar MPP, akan di tempatkan di satu wing yang sama untuk setiap kategori yang sama. Aku secara jujurnya merasakan ianya seperti berpuak-puak. Assobiyah. Bukankah ianya akan mewujudkan jurang antara pemimpin dan pelajar-pelajar. Kita kalau boleh tak mahu situasi dan keadaan begini berterusan. Tapikan, UPK kata kemungkinana besar rombakan tersebut berlaku semester hadapan. Sama sahaja nanti keadaannya.

Macam-macamlah diorang ni. Kita dekat sini yang terpuinga-pinga. Aku harap tak adalah perubahan apa-apa. Bila ada prubahan ni susahlah. Tetapi, kita kena redha jika ada perubahan sekalipun. Mungkin dekat tempat baru kita akan dapat mad’u yang boleh kita bimbing dan barangkali juga mereka ini adalah orang yang dipilih oleh Allah untuk kita. Amin. Moga begitulah hakikat yang berlaku. Insyaallah.

Aku sebilik dengan pelajar Dekan dua sem berturut. Nampak baik. Nampak terjaga akhlaknya. Tetapi bagaimana ingin menggerakkan hati kecil itu?

Oklah, kena balik dulu.

Wallahualam.

Engkau Ingin Berjuang?

Salam.

Sebenarnya nasyid di bawah, aku tak pernah dengar sebelum ni. Selepas menghadiri TITIN 08 yang sungguh bermakna dan manfaatnya, slot muhasabah diri menggunakan lirik ini benar-benar menyentuh hati lembut ini. Terasa setiap kritikan itu benar-benar menusuk keegoan. Aduh, benarkah aku ikhlas kerana Allah untuk berjuang? Benarkah aku ingin berjuang untuk Islam?

Ya Allah, bersihkan hati ini. Aku ingin berjuang melawan hawa nafsu ini, itu yang utama. Moga Kau permudahkan segalanya.

Tajuk: Engkau Ingin Berjuang
Munsyid: Qatrunada

Engkau ingin berjuang,
tapi tidak mampu menerima ujian…
Engkau ingin berjuang,
tapi rusak oleh pujian…
Engkau ingin berjuang,
tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan…

Engkau ingin berjuang,
tapi tidak begitu setia kawan…
Engkau ingin berjuang,
tapi tidak sanggup berkorban…
Engkau ingin berjuang,
tapi ingin jadi pemimpin…
Engkau ingin berjuang,
menjadi pengikut agak segan…

Engkau ingin berjuang,
tolak ansur tidak engkau amalkan…
Engkau ingin berjuang,
tapi tidak sanggup menerima cabaran…
Engkau ingin berjuang,
kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan…

Engkau ingin berjuang,
masa tidak sanggup engkau luangkan…
Engkau ingin berjuang,
karenah istri tidak kau tahan…
Engkau ingin berjuang,
rumah tangga lintang pukang…
Engkau ingin berjuang,
diri engkau tidak engkau tingkatkan…

Engkau ingin berjuang,
disiplin diri engkau abaikan…
Engkau ingin berjuang,
janji kurang engkau tunaikan…
Engkau ingin berjuang,
kasih sayang engkau cuaikan…
Engkau ingin berjuang,
tetamu engkau abaikan…

Engkau ingin berjuang,
anak istri engkau lupakan…
Engkau ingin berjuang,
ilmu berjuang engkau tinggalkan…
Engkau ingin berjuang,
kekasaran dan kekerasan engkau amalkan…

Engkau ingin berjuang,
pandangan engkau tidak diselaraskan…
Engkau ingin berjuang,
rasa ber-Tuhan engkau abaikan…
Engkau ingin berjuang,
iman dan taqwa engkau lupakan…

Semoga kita dapat muhasabah diri kita semula dan cuba perbaiki diri agar sentiasa merasakan bahawa perjuangan kita adalah benar-benar kerana Allah. Benar-benar inginkan perubahan untuk Islam.

Wallahualam.

Terima Kasih YA

06/24/2008

Salam.

Resepi tu kita tangguhkan dulu ya?  Kalau sempat esok pagi aku update semata-mata untuk resepi kek coklat air panas tersebut.

Insyaallah, esok pagi pukul 10 aku minta mak tolong hantar ke perhentian bas Air Hitam. Asalnya nak naik dari Batu Pahat, tetapi di sebabkan bas tak ada waktu tengahari, akupun jadi malas nak naik Cepat Ekspress itu. Makanya, aku naik bas yang perjalanannya akan mengambil masa lebih jauh tetapi setiap setengah jam pasti ada.

Oh, awal ya aku masuk?

Pendaftaran pelajar-pelajar semester 1 seluruh UiTM adalah pada 28hb June 2008. Orentasi pelajar-pelajar semester 1 adalah bermula 29hb June sehingga 3 Julai. Pendaftaran pelajar-pelajar lama peringkat diploma adalah pada 4hb Julai 2008, manakala ijazah pada 5hb Julai 2008. Kelas akan bermula pada 7hb Julai 2008. Selamat kembali ke sekolah dan semoga semester ini kita sama-sama berazam untuk meningkatkan lagi CGPA agar lebih baik daripada semester sebelumnya.

Aku mohon maaf kepada pembaca sekalian jika tiap bibit yang tertaip di dalam ini telah menyinggung atau bakal menyinggung perasaan anda. Barangkali, kekurangan itu adalah daripada kelemahan yang memang wujud dalam diri aku bahkan dalam diri setiap manusia yang tidak sempurna ini. Semoga, apa yang aku tulis sepanjang percutian ini terdapat banyak manfaat yang boleh di ambil dan di jadikan sebagai pengajaran.

Kata-kata ini bukanlah menandakan aku akan meninggalkan dunia blog ini terus, tetapi sekadar pesanan sebelum aku sempat meneruskan perjuangan pena ini dimasa akan datang. Pada hari-hari mendatang, aku akan melalui hari dengan penuh kesibukan, dan pasti ketandusan masa yang selalu mencemburui manusia saban hari. Maka, aku memohon jasa baik semua pihak agar teruskan galian anda mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat yang boleh di ambil dan di ikuti sebagai teman hidup.

Terima kasih kepada pembaca dan seterusnya setiap doa dan kata-kata yang kalian sampaikan itu adalah lebih bermakna dari hasil yang di terima oleh si pendengar itu. Teruskan perjuangan.

Wassalam.

No More Gerai

06/23/2008

Salam alaik.

Tadi, lepas mak membuat pembayaran dikedai makan, abah tanya. “Berapa?”. Mak kata dekat-dekat RM50 juga. Sekarang ni semua dah naik. Mak kata lagi, lepas ni kita kena kurangkan sangat-sangat keluar makan. Kalau nak makan di luar, tak boleh makan tom yam dah. Mahal! Jadi, kena makan yang bergoreng sahaja. Uda kata, lepasni makan KFC lah jawabnya. Tak naik harga kot. “Siapa kata?!” soal mak.

Tadi pergi membeli-belah barang-barang keperluan untuk dibawa pulang. Namun begitu, ada sahaja barang yang terlupa hendak dibelikan. Nanti-nanti sajalah. Uda akan masuk UniKL cawangan Melaka awal Julai depan. Pelbagai soalan yang di ajukan pada aku. “Kalau dekat U, malam-malam macam ni diorang buat apa ya?”. Aku diam saja. Abah yang jawab. “Usrah.” Uda diam. Cakap pasal usrah saja diam. Aku cakaplah, di universiti ni kita kena paksa diri kita sibuk. Kita yang kena gerakkan diri kita untuk bekerja, tak kisahlah bekerja untuk apa. Kalau kita tak paksa, kita macam sekaranglah. Senang lenang goyang kaki dan tak ada rasa tanggungjawab langsung. Jadi, pendek cerita, sepanjang di kampus nanti you have your own choice whether to be good or to be bad, or too good to be bad, or too bad to be good.

Malam tadi aku bertungkus-lumus membuat kek coklat air panas tanpa bantuan mak ataupun adik-adik yang memang sejak azali tidak pernah membantu itu. Jadi, aku buatlah dalam keadaan aku kepenatan. Badan aku kurang bermaya sebenarnya, entah kenapa sakit-sakit. Haritu makan panadol, terus tak boleh tidur sampai ke tengahari (hehe!). Insyaallah, esok aku akan kongsikan resepi tersebut. Sebabnya, aku yakin jika anda bujang senang ke, teruna ke, duda ke, apa-apa jenis bujang sekalipun anda pasti akui bahawa kek ini cukup mudah. Anda hanya perlu membeli bahan-bahan yang diperlukan, gaulkan dan bakar. Mudahkan?

Oh ya, masa membeli-belah tadi jugakan, aku carilah kertas kajang yang murah. Cari punya cari adalah satu pack ni, murahlah juga nak dibandingkan dengan yang ada di kiri dan kanan yang murah ini. Barangkali harga yang lain lebih rendah tetapi kuantitinya agak sedikit. Jadi, aku perlukan yang berbaloi. Bila di tarik keluar, hah? Terkejut beruklah aku. Inilah muka yang aku kurang gemar sebenarnya. Tetapi, barangkali imej dia tidaklah seteruk artis-artis yang lain. Bila tiba di kaunter, mak tanya siapa beli ni? Aku cakaplah aku yang beli. Abah ambil, membalikkan muka hadapanya ke bawah agar wajah artis tersebut tidak kelihatan lagi. Aduhai. Abah kata, “kamu pun minat MAWI ke?”. Err.. itu saja yang murah. Sudah. Penat aku pertahankan kerana harganya murah, bukan kerana artis itu.

Dua.

Tadi, mak beritahu aku. Mak Lang cerita pasal anak lelaki dia yang hebat sangat ke sana ke sini bersama KBM. Aku tidak cuba untuk membuka aib sesiapa, tetapi inilah kesilapan sesetengah daripada kita. Hendak aktif bersama kelab NGO tidak ada masalah, tetapi tolong seimbangkan akademik kita sebagai pelajar. Tolong, tolong jangan terlalu pentingkan program tersebut sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Bukan tidak boleh, bukan tidak di galakkan, cuma jangan terlalu rasa yakin bahawa Tuhan akan bantu kita tanpa usaha. Ya, kita memang melakukan sesuatu kerana Allah, untuk umat Islam, dan untuk menyelamatkan Islam. Tetapi, adakah kita yakin kita adalah yang terbaik dan kita mampu bertahan sebagai pejuang Islam tanpa keutuhan dalam mempertahankan ilmu sebagai orang pendakwah?

Kenapa aku cakap semua ini? Kenapa? Kerana ‘beliau’ masih tidak nampak priority di kampus barangkali. Masalah ini sebenarnya aku pernah bincangkan bersama-sama dengan sahabat seperjuangan, tetapi benda ini tidak terkeluar daripada tempayan lagi. Masih tertutup rapi tanpa gangguan mana-mana. Entahlah. Adakah satu kesalahan jika ‘beliau’ tidak dapat hadir di dalam program remaja tersebut? Adakah akan lesu jika program remaja tersebut tidak di hadiri oleh ‘beliau’? Adakah akan cacat program tersebut tanpa pertolongan daripada ‘beliau’? Ingatlah, kita jangan terlalu yakin bahawa kita dapat menyelesaikan semua masalah-masalah di dalam kepompong Islam. Kita jangan terlalu rasa bahawa kita hebat dan sangat diperlukan dalam menguasai semula 2/3 dunia. Ya, kita perlu yakin bahawa Islam itu pasti menang. Ya, kita perlu jadi sebahagian daripada yang cuba menegakkan Islam. Tetapi, kita perlu ingat, keyakinan itu bermula dengan perubahan setapak yang kita cipta yang paling hampir dengan kita. Sudahkah kampus kita teratur dengan sistem-sistem tarbiyah yang kita war-warkan? Yang kita gahkan untuk capai FIDAK 2015. Mampukah andai diri kita sendiri terasa bahawa hati tidak dan belum lagi melekat di dalam kampus? Bagaimana itu? Bagaimana itu mampu membawa perubahan kearah FIDAK, sahabat-sahabat?

Teman-teman yang aku cinta dan sayang, jangan abaikan akademik anda. Tolong, jangan ambil ringan akademik anda. Aku rayu pada para dhuat di luar sana, walau sibuk dengan kerja dakwah sekalipun, jangan tinggalkan kerja-kerja akademik dan juga tugas-tugas yang di amanahkan. Tolong, tolong jangan bersendiri di dalam kelompok ‘kita’ sahaja. Keluarlah, keluar dan sampaikan dakwah bersama akademik anda. Ciptalah keseronokan yang kita belajar di dalam dakwah kita di dalam akademik kita juga. Andai kita belajar teknologi, maka fahamilah kecanggihan yang Allah cipta itu juga adalah teknologi, teknologi yang lebih tinggi yang tidak mampu manusia tandingi.

Jangan terlalu taksub (tidak suka perkataan ini) pada sesuatu yang sukar untuk kita tinggalkan, kerana ini mungkin membuat kita hilang yakin pada kebaikan yang Allah cuba letakkan sesuai dengan kemampuan kita. Andai kedua-dua benda ini tidak mampu kita galas, maka itu adalah warning dari Allah, barangkali kemampuan kita kurang disitu. Usahalah untuk mengubah dan memperbaiki sesuatu agar ianya seimbang. Jangan biar diri kita terus-terusan dalam gelombang yang tidak menentu dan tiada hala-tuju yang jitu. Seolah-olah pergerakan kita hanya mengikut arus dan tidak ada pencapaian yang kita inginkan. Andai benar-benar anda inginkan FIDAK, maka bergeraklah seperti anda inginkan FIDAK. Bukan hanya mempromosikan FIDAK merata tetapi usaha yang di bawa kurang dan tidak mengembang. Adakah itu konsep FIDAK?

Percayalah, sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah ini pasti inginkan FIDAK jika mereka memahami. Namun begitu, adakah semudah itu untuk memahamkan mereka apa itu syahadatul haq?

Aku harap lagi sekali, seimbangkanlah dunia dan akhirat, sepertimana kita seimbangkan dakwah dan akademik. Ianya penting bagi mendapat kehormatan daripada mereka yang tidak mahu mengerti, yang belum mengerti dan yang baru mengerti apa itu Islam. Matlamat kita sama, cita-cita kita sama, namun cara kita berbeza selagi tidak melanggar syarak. Jadi, tidak ada cara lain selain anda selarikan kerja dakwah dan akademik bersama-sama menerajui onak berduri di dalam kampus bagi mencapai misi KARISMA di seluruh Malaysia iaitu FIDAK 2015.

Wallahualam. Yang baik dari Allah, yang kurang baik itu atas kelemahan penulis. Harap maaf.

Enaknya Hotel 5 Bintang

06/21/2008

Salam alaik.Petikan dibawah aku dapat melalui emel oleh Cekedess. Jadi, aku terasa ianya sesuatu yang perlu diketahui oleh anda diluar sana. Jangan tertipu dengan keselesaan Hotel 5 Bintang.

Pengakuan 2 Chef Hotel 5*

Assalamualaikum,

Pada hari Ahad yang lepas, sekiranya anda mendengar siaran Radio 24 bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada jam 2 pm, terdapat satu wawancara yang sangat menarik di antara Pengulas Radio 24, Tokki dan 2 orang Chef.

Isu ini begitu menarik sehinggakan saya terasa rugi jika tidak mendengar celoteh mereka walaupun hanya hendak bangun ke tandas. Isu kepenggunaan kali ini ialah tentang Halal atau Tidak Halal Makanan yang Dihidangkan di Hotel 5 bintang.

Seperti yang kita maklum, waktu orang Islam berpusu-pusu untuk makan di Hotel 5 bintang ialah ketika bulan Ramadhan. Bukan sahaja individu, malah syarikat-syarikat juga menjamu pekerja-pekerja dan pelanggan masing-masing di Jamuan Berbuka Puasa di Hotel 5 bintang. Maklumlah, Setelah penat dan lapar berpuasa pada siangnya, tentulah waktu untuk berbuka itu sewajarnya diiringi dengan juadah-juadah yang lazat dan sedap.

Tetapi jangan terkejut kerana hidangan anda di Restoran 5 Bintang itu belum tentu HALAL. Apa hukumnya puasa anda sekiranya berbuka dengan makanan yang Haram?

Yang menariknya di dalam program ini, 2 orang Chef telah bersama-sama menceriakan rancangan ini. Apa kata mereka?

Salah seorang Chef memberitahu, dari pengalamannya dahulu, di dalam retoran hotel 5 bintang yang menghidangkan buffet, terdapat 5 bahagian dapur masakan (Masakan Melayu, Masakan Barat, Masakan Cina…. tak ingat lagi dua). Setiap satu dapur diketuai seorang Chef yang dipanggil Eksekutif Chef. Di dalam buffet, setiap dapur akan memasak makanan tertentu untuk buffet tersebut. Resepi-resepi untuk makanan yang dimasak daripada setiap dapur adalah hak mutlak Eksekutif Chef. Ini bermakna tiada orang lain berhak memberi komen tentang resipi yang telah ditetapkan oleh Eksekutif Chef.

Eksekutif Chef ini terdiri daripada orang yang pakar dan ahli di dalam masakannya untuk menjaga kualiti makanan yang dihasilkan (5 bintang lah katakan…). Sekiranya Dapur Masakan Melayu tentulah eksekutif Chefnya adalah seorang Melayu. Sekiranya western maka pakarnya tentulah orang dari luar negara, begitu juga masakan cina dan lain lain.

Sesetengah Chef yang mungkin berasal dari luar negara mempunyai cara memasak mereka yang tersendiri. Jika mereka sudah biasa meletakkan arak di dalam makanan di luar negara, mereka pasti akan meletakkanArakketika memasak di dapur sini.

Salah seorang chef berkata, ketika beliau baru memulakan kerjayanya, beliau melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang dimasak di Hotel 5 bintang ini. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis botol arak bersama-sama dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup. Jika tidak silap saya, bukan sup sahaja makanan yang mengandungi arak.

Selain daripada Arak , ada yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini. Menurut chef tersebut, terdapat dua mesin pengisar daging di dapur tempat beliau bekerja. Satu bertulis “PORK” pada papan tanda berdekatan dan satu lagi bertulis “NON-PORK”. Tapi dia amat kecut perut… bila semua orang seperti tak nampak (atau buat-buat tak nampak) sahaja papan tanda itu… Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana … sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin tersebut setiap kali habis bertugas. Yang memakan masakan itu pula ialah kita.

Pada kebiasaannya, sesetengah hotel mengasingkan pinggan yang digunakan untuk menghidangkan khinzir di satu tempat yang berasingan untuk dicuci. Ini adalah kerana, pencuci pinggan dahulunya adalah di kalangan orang Islam. Tetapi menurut chef itu sekarang, pencuci pinggan adalah di kalangan orang Myanmar dan Bangladesh . Mereka bukannya tahu pinggan mana yang ada khinzir ataupun tidak. Untuk memudahkan kerja, semuanya dicampurkan sekali. Habis semuanya….

Chef itu juga ada bercerita tentang kek-kek yang dihidangkan yang mempunyai arak, contohnya tiramisu. Banyak juga dessert dan kek yang tidak halal dihidangkan.

Adakalanya, daging yang di grill, ayam-ayam atau makanan yang dibakar adalah halal. Begitu juga dengan makanan laut. Namun, Chef menasihatkan agar lebih berhati-hati dengan pelbagai sos atau pencicah yang disediakan bersama kerana ia dikhuatiri tidak halal.

Ada juga pada waktu waktu tertentu chef ini akan keluar dan melihat-lihat para pelanggan. Sekiranya beliau melihat orang Islam mendekati makanan-makanan yang tidak halal, maka dia akan mendekati mereka dan berbisik “Encik, makanan ni tidak halal…”. Tapi tentulah banyak daripada masa mereka berada di dalam dapur. Jadi nasiblah kepada para pelanggan Islam yang lain sekiranya tidak sengaja menikmati makanan yang haram.

JAKIM telah memberi sijil Halal kepada 3 buah hotel sahaja tetapi sampai tamat program wawancara Radio 24 itu, saya tidak dapat menangkap nama Hotel 5 Bintang yang mana satu. D’Saji Felda telah diiktiraf Halal oleh JAKIM menurut Tokki (PPIM) cuma ia bukan nama Hotel 5 Bintang yang ingin saya dengar.

Saya berasa sangat terkesan di dalam hati apabila mendengar program ini dan pendedahan pengalaman-pengalaman daripada 2 orang Chef jemputan. Salah seorangnya kini telah menjadi Ketua Chef untuk Tabung Haji dan salah seorang lagi bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat makanan. Ia menjadi pengajaran kepada kita bahawa makanan yang nampak mahal dan sedap itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kita.

Sekiranya anda tahu Hotel 5 Bintang yang diiktiraf Halal oleh JAKIM sila kongsikan kepada semua pembaca.

Wassalam…

Benarkah kisah di atas? Wallahualam. Moga kita sentiasa jaga permakanan kita. Mujurlah abah dan mak memang jenis berhati-hati. Jarang kami makan di restoran hotel jika menginap disana. Barangkali mak dan abah tidak mahu hadapi risiko seperti di atas.

Cerita di atas benar-benar mengingatkan aku pada situasi di UK dahulu. Beginilah keadaannya. Jangan disangka ikan yang dimasak tidak menggunakan arak. Biasanya orang-orang bukan Islam ini suka masak menggunakan arak, bukan minyak seperti kita. Jadi, berhati-hatilah. Antara syarat untuk dapat taraf hotel 5 bintang adalah perlunya hidangan arak. Tahukah anda?

Wallahualam.

« Previous entries