Rehlah Gunung Berlumut
05/30/2008
Salam alaik.
Alhamdulillah, petang tadi tiba di UiTM Segamat lebih kurang jam 6.30 petang. Sangat penat dan cukup memenatkan. Perjalanan sehari suntuk semalam cukup memenatkan (lagi). Akupun tidak pasti bagaimana kuat juga semangat aku untuk berada di CC ni dan updatekan sesuatu. Rindu rasanya untuk menaip.
Ok. Aku bercadang untuk berkongsi sedikit berkenaan rehlah kami. Habis je Jalinan Kasih III jam 12.30 tengahari, kami berkumpul beramai-ramai. Aku memang tidak mengenali adik-adik ni. Iyalah, adik-adik usrah Noor. Aku pula bukannya berada di BP sentiasa. Selepas briefing sedikit, kami pun beramai-ramai turun keluar dari Pejabat JIM. Tunggu PakCu tiba. Sementara tunggu, Nurul mengajak Noor pergi ambil mee goreng di kedai makan dulu. PakCu sampai, Noor tak sampai lagi.
Lepas Noor sampai, semua orang di arahkan masuk ke kenderaan masing-masing seperti yang telah di agihkan oleh Noor sebelum ni. Jadi, naiklah masing-masing. Naik-naik dan sumbat-sumbat, rupanya ada lebih 4 orang takda tempat, tak termasuk aku. Fikir punya fikir, akupun telefon abah meminta bantuan. Driver ada, kereta je tak ada. Jadinya aku minta izin untuk pakai kereta kancil Abang Long. Noor, aku, Nurul dan Wani (adik usrah Noor) pun menaiki Kenari Noor ke rumah aku. Dekat rumah aku pula ada cerita lainnya, Kancil taknak hidup. Puas dah memujuk, tak mahu juga. Bateri out rupanya.
Abah dengan baik hati mencadangkan supaya kami bawa sahaja Inovanya. Aku serba salah. Abah tak kerja ke? Dia kata tak apa. Jadinya, Allah permudahkan lagi urusan kami. Minta kereta kecil, dapat kereta besar. Alhamdulillah. Tapi malangnya, Wani tak pandai bawa kereta Auto. Kenari Noor tu auto. Jadinya sementara berbincang dengan Noor, Nurul pun mengajarlah Wani untuk bawa kereta auto tu dulu, pusing satu taman. Alhamdulillah, mudah dapat. Noor pun memandu Inova di temani aku, dan Wani memandu Kenari ditemani Nurul.
Sampai di Pejabat Jim, kami mencadangkan agar satu kereta di kurangkan. Hitung punya hitung, masih tak muat lagi. MakCu cadangkan agar tidak mengurangkan mana-mana kereta. Alhamdulillah, masing-masing boleh duduk dengan selesa tanpa berhimpit-himpitan. Angsa dibawa Nurul, Inova dibawa Noor, Kancil dibawa Ayu dan Kenari dibawa Wani.
Sampai disimpang memasuki jalan ke Gunung berlumut, ada pula notis. Ditutup buat sementara waktu. Jadinya, kami masuk sajalah dulu. Masa masuk tu untuk ke simpang terakhir notis yang sama tergantung. Kamipun memberhentikan kereta dan duduk di rumah usang berhampiran. Tidak berpenghuni. Kebetulan hujan turun lebat, renyai-renyai dan kejap lebat semula. Kami berbasahan sekejap. Tak apalah. Di pondok usang tersebut Noor memulakan tazkirahnya, sementara ada ahli yang cuba mendapatkan bantuan saudaranya yang tinggal berhampiran.
Masya Allah, sungguh pandai Noor berbicara dengan adik-adik. Benarlah hakikat bahawa hujan ini sangat dipenuhi dengan Rahmat. Ada yang mengeluh, nak berpiknik hujan pula yang muncul dan menyibuk. Astaghfirullah. Setiap yang menghalang perjalanan kita itukan ujian, jangan kita salahkan nikmat Allah itu sebagai beban berat kepada kita. Sedangkan itulah yang kita perlukan. Itulah yang diperlukan oleh makhluk-makhluk Allah dan itulah juga yang diperlukan oleh kita untuk terus hidup dimuka bumi ini. Subhanallah, amat besar hasilnya dari nikmat yang sedikit ini.
Beberapa minit kemudian saudara ahli tersebut hadir dan mengajak kami bergerak ke destinasi seterusnya. Rupanya sungai itu tidaklah ditutup sepenuhnya. Bahagian tertentu sahaja. Namun begitu, pengawal keselamatan disitu menggesa kami pulang sahaja kerana hari sudah lewat. Tika itu jam menunjukkan tepat 4.30 petang. Pengawal itu hendak pulang dan tidak mahu menjaga kawasan itu lagi. Jadi, kami terpaksa berpatah balik. Pun begitu, saudara ahli tersebut mengajak kami ke ‘pulau’. Kawasannya berdekatan sahaja tetapi tidak proper. Bahaya. Tetapi, atas semangat dan keinginan yang ada mereka gagahkan juga meredah sungai di dalam hujan.
Selepas aku dan Nurul meninjau-tinjau kawasan tersebut, kami meminta adik-adik untuk sentiasa berpegang tangan apabila berada didalam sungai. Ini bagi mengelakkan apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku tanpa pengawasan mana-mana pihak. Apatah lagi PakCu dan MakCu pula bercadang untuk pulang kerana guruh semakin hebat dan hujan tidak ada tanda hendak berhenti. Kami briefing adik-adik itu.
Tujuan Noor ingin membawa adik-adiknya ke kawasan begini untuk mengajar mereka berwudhu’ dengan sungai dan solat di atas tanah. Jadi, kami mengarahkan semua masuk ke dalam air. Asalnya, aku tidak mahu mereka masuk ke dalam air. Guruh saling berdentum mampu menggegarkan jantung kita. Cukup takut dan risau atas keselamatan adik-adik. Apatah lagi kami berada di dalam kawasan yang dipenuhi pokok kelapa sawit. Risau mana-mana pokok tumbang dan terkena sesiapa, nauzubillah. Noor bersetuju.
Namun begitu, bila semua dah berjumpa air tidak sah ada sahaja yang ingin bermandi-manda. Aku juga berada di dalam sungai tika itu. Aku sudah tidak selesa. Jadi, aku memberitahu Noor yang aku tidak akan berwudhu’ cara biasa, aku akan selam sahaja. Noor bersetuju dan Noor meminta aku tunjukkan demo kepada adik-adik. Jadi, kamipun bersama-sama menyelamkan diri, dan sebelum tu kami berniat mengambil wudhu’ seperti biasa. Adik-adik ini tidak sangka bahawa ada cara berwudhu’ dengan mudah rupanya. Alhamdulillah, Islam itu indah dan tidak pernah menyusahkan umatnya.
Selesai wudhu’ kami menunaikan solat. Qiblat ditunjukkan oleh saudara kepada salah seorang adik-adik disitu yang ada bersama sedari tadi. Kami solat di atas tanah yang diimamkan oleh aku sendiri. Kami solat Qasar. Tidak ramai yang tahu apa itu solat Qasar. Ramai yang pening dan keliru, bolehkah solat Asar dilakukan hanya 2 rakaat sahaja? Dan bolehkan Zohor dihimpunkan dalam solat Asar? Persoalan begini memang banyak bagi mereka yang tidak pernah tahu dan tidak pernah mengalami atau melaluinya sendiri. Apatah lagi untuk mempelajarinya. Benda ini perlu di ketahui umum supaya kita tak rasa yang Islam ini tidak mementingkan keadaaan dan situasi kita. Jika kita sakit juga ada cara-cara menunaikan solat.
Alhamdulillah, semasa kami sedang solat, guruh-guruh sudah tidak kedengaran. Tenang. Hujan sudah mula perlahan. Selesai solat Noor memberi sedikit tazkirah. Kejap-kejap aku sampuk memberi semangat kepada adik-adik ini. Nurul juga begitu. Jika ada pengisian yang perlu disampaikan, akan cuba dia sampaikan. Sebenarnya, fenomena dan cara sebegini ramai lagi diluar sana yang tidak tahu. Contohnya pelajar-pelajar IPT. Ramai yang buta agama, tidak tahu ajaran-ajaran Islam yang sungguh menitikberatkan kemampuan manusia itu sendiri. Aku telah melaluinya sendiri bersama-sama dengan akhawat dan ikhwah dari UiTM Segamat. Ada yang mempertikaikan soal aurat pada belakang tapak tangan. Dan ada juga mempersoalkan tentang kotor. Ada juga yang mempersoalkan mengapa perlu bersusah payah solat dipadang sedangkan kita ada masjid berhampiran.
Kita perlu ingat, tidak semua tempat itu ada masjid, ada musolla untuk menunaikan solat. Jadi, ada ramai juga yang meninggalkan solat kerana tidak ada tempat untuk menunaikan solat. Begitu jahilnya manusia. Kita perlu ingat, solat adalah wajib dan tidak ada sebab mengapa solat perlu ditinggalkan atas alasan-alasan begini. Sepatutnya solat dilaksanakan walau dimana sahaja kita berada. Jika anda di Spain, anda akan merasa kepayahan untuk solat kerana masjid sangat-sangat sukar untuk ditemui. Umat Islam apatah lagi. Jadi, kita perlu jadi survivor seorang muslim. Dimana anda berhenti, disitu anda perlu solat. Jika tidak ada air, gunalah debu.
Baiklah, seterusnya kami pulang dengan kegembiraan dan penuh pengalaman tersemat di sanubari. Walaupun kami sesat semasa pulang, namun begitu kami akhirnya menjumpai jalan pulang walaupun terpaksa melalui jalan yang agak jauh. Alhamdulillah, syukur. Jam 8.45 malam aku sampai dirumah. Dalam keadaan longlai aku masuk bilik dan tidur. Jam 10.30 malam aku bangun untuk mengisi perut dan tidur semula.
Hari ini aku bangun sedikit awal bertemu dengan Nadia. Mengemas baju untuk berangkat ke UiTM Segamat, dan tertidur. Jam 2 petang aku turun untuk makan tengahari. 3.30 petang abah dan mak bersiap-siap untuk menghantar aku. 4.30 petang tiba dirumah kampung kepada kakak ipar mak aku di Segamat. 6 petang bertolak dari sana menuju ke UiTM. 6.30 petang tiba di UiTM. Dan sekarang aku disini menulis diari.
Insyaallah jika ada kesempatan aku cuba menulis lagi esok hari. Aku bercadang untuk tidur awal malam ini kerana kepala sakit menjadi-jadi sejak pagi tadi. Mungkin terlampau penat. Tak ada masa untuk berehat sejak dari KBM haritu.
Akhir kata, kepada akhawat yang pergi Titian pada 6,7 dan 8hb ni, tegur-tegurlah. Semoga kita dapat merapatkan ukhuwah lagi sesama kita. Insyaallah. Moga segala urusan kalian dipermudahkan Allah, dan doakan semoga urusan aku juga dipermudahkan oleh Allah.
Itu sahaja dari aku. Wassalam.

